SIRI SEJARAH ISLAM
Al Husayn bin Ali A.S – Cucunda Rasulullah S.A.W. (Siri Pertama)
Oleh Ammar Yasir - Laman M@RHAEN

Sempena tahun Hijrah 1426 yang baru sahaja menjelang tiba, penulis berazam pada tahun baru ini untuk berkongsi bersama pembaca tentang sejarah Islam. Mudah-mudahan menjadi harapan penulis agar umat Islam di akhir zaman ini kembali bangun sebagai kuasa besar dunia.

Sebagai permulaannya penulis akan membicarakan tentang sejarah hidup al Husayn bin Ali A.S cucunda junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Mengapa penulis memilih beliau sebagai tajuk pertama penulis dalam membicarakan tentang sejarah Islam? Ianya disebabkan al Husayn bin Ali A.S telah syahid pada bulan ini pada tanggal 10 Muharram tahun 61 hijrah demi menegakkan Islam di muka bumi ini.

Penulis akan membahagikan tulisan kepada beberapa siri bagi memudahkan pembacaan pembaca semua.

Kelahiran yang diberkati Allah

Setahun selepas keputeraan al-Hassan bin Ali bin Abu Talib a.s. iaitu pada hari ketiga bulan Sya’aban tahun keempat hijrah telah datang khabar penuh gembira kepada Rasulullah s.a.w dengan kelahiran cucundanya al-Husayn putera Fatimah az-Zahra ‘a.s.

Setélah menerima berita itu lantas bersegeralah Rasulullah s.a.w menuju ke rumah Fatimah dan Ali. Sesampainya junjungan s.a.w. ke sana lantas bersabda kepada Asma’ binti ‘Amis yang bermaksud;

“Wahai Asma’ berikanlah cucundaku itu kepadaku, lalu Rasulullah s.a.w. memangku al-Husayn as. dan diletakkan di atas hamparan putih dan dengan penuh kesukacitaan Rasulullah s.a.w. mengucup bayi itu dan melaungkan azan di telinga kanan bayi yang mulia dan iqamat di telinga kirinya dengan penuh kesukacitaan Rasulullah s.a.w. meletakkan bayi itu di atas pangkuannya lalu menangis sehingga Asma’ pun bertanya; Mengapa dikau menangis wahai Rasulullah? Sabda Rasulullah s.a.w. Aku mènangis kerana cucunda aku ini. Lantas Asma’ bertanya inilah bayi yang dilahirkan kena pada masanya. Rasulullah s.a.w. bersabda lagi; Wahai Asma’! Cucundaku ini akan dibunuh oleh satu kumpulan penderhaka selepas kewafatanku dan mereka itu tidak akan memperolehi syafa’atku. Rasulullah sa.w. menyambung lagi Wahai Asma’ janganlah berita ini disampaikan kepada puteriku Fatimah kerana ini merupakan satu peristiwa yang dijanjikan pada masa kelahirannya [rujukan dari kitab I’lam al-Wara bi I’lam al-Huda karangan at-Tibrasi, bab Keutamaan Imam Abu Abdullah al-Husayn cetakan tahun 1379, hlm. 217]

Selepas itu Rasulullah s.a.w. menemui Ali bin Abu Talib r.a., ayahanda kepada al-Husayn lantas bersabda kepadanya (terjemahan); Apakah yang ingin dinamakan cucundakau ini? Lalu Imam Ali r.a. menjawab; Aku tidak akan mendahului dikau dalam menamakannya wahai Rasulullah s.a.w.

Dengan peristiwa ini lalu turunlah wahyu yang suci ke atas kekasih Allah Muhammad s.a.w yang membawa nama kepadanya daripada Allah Azza wajalla, lantas Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Imam Ali as.: Dinamakan dia Husayn.

Pada hari ketujuh selepas keputeraan al-Husayn Rasulullah s.a.w. segera pergi ke rumah puterinya Fatimah az-Zahra a.s. Junjungan s.a.w. telah menyembelih seekor kambing untuk al-Husayn a.s. dan mencukur rambut cucundanya itu serta memberi sedekah perak sebanyak rambutnya itu.

Demikian peristiwa kelahiran al-Husayn a.s. sebagaimana saudaranya al-Hasan a.s. yang merupakan cucunda kepada Nabi Besar Islam Muhammad s. a.w.[Asyi’at min hayat al-Hasan bin Ali a.s diterbitkan oleh Dar At-Tauhid]

Kedudukan al Husayn a.s.

Al Husayn a.s. yang bergelar Abu Abdullah itu memiliki maqam serta kedudukan yang agong. Kedudukannya yang demikian agong itu hanya boleh disaingi oleh ayahandanya Ali bin Abu Talib r.a., bondanya Saidatina Fatimah az-Zahra a.s. dan para imam dari zuriat Rasulullah s.a.w.

Adalah sukar bagi para sejarawan untuk merakamkan kedudukan al-Husayn as. dari sudut pandangan Islam. Mereka hanya mungkin terdaya mengkaji kebesaran maqam Imam al-Husayn a.s. yang menjadi pemimpin para syuhada’ itu dari kacamata syariah Islamiah semata-mata.

Al-Qur’an al-karim sendiri yang merupakan kalam ‘Allah yang sentiasa menegakkan kebenaran telah merumuskan secara terang benderang mengenai kedudukan ahlul bayt atau keluarga rumahtangga Rasulullah s.a.w. yang diwakili oleh Al-Husayn a.s:. Allah berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 33:

Ertinya: “Hanyasanya Allah ingin rnenghapuskan segala kekejian dari kamu (wahai) ahl al-Bayt Rasulullah s.’a.w. dan menyucikan secara semurninya.” [ini boleh dirujuk di dalam kitab Sahih Muslim, Bab Fadhail as-Sahabah atau Sahih Tirmidzi, Juzu’ 2 atau Musnad Ahmad bin Hanbal dan al-Hakim Naisaburi dalam kitabnya Mustadrak]

Para ahli hadith telah merumuskan sebab-sebab turunnya ayat di atas adalah berikutan dengan doa Rasulullah s.a.w. yang dipanggil kisa’. Rasulullah s.a.w. menujukkan doanya itu terhadap Saidina Ali, Saidatina Fatimah dan kedua-dua puteranya al-Hasan a.s. dan al-Husayn a.s.

Maksud do’a tersebut ialah: Ya Allah merekalah Ahli Baytku (ahli rumahtanggaku), oleh itu hapuskanlah kekejian dari mereka dan sucikanlah mereka dengan sebenar-benarnya.)

Ayat al Quran tersebut diturunkan bersempena dengan doa itu. Selanjutnya ayat yang penuh keberkatan in menandakan penyaksian daripada Allah s.w.t. sendiri berhubung dengan kesucian ahlul Bayt a.s. Rasulullah s.a.w. serta ketinggian maqam dan kedudukan mereka menurut kacamata Islam.

Suatu lagi ayat al Quran yang menyatakan ketinggian martabat ahlul Bayt atau ahli rumahtangga Rasulullah s. a.w. yang diwakili oleh al-Husayn a.s. ialah ayat Mubahilah (sanggahan terhadap pendustaan orang-orang kafir) Allah s.w.t. telah berfirman di dalam surah Ali Imran ayat 61:

Ertinya: “Barangsiapa membantahmu tentangnya (kisah Nabi Isa ‘a.s.) sesudah datang ilmu (yang meyakinkan kamu), maka katakanlah kepadanya; “Marilah kita memanggil anak-anak kami, dan anak-anak kamu, isteri-isteri (perempuan) kami dan perempuan-perempuan kamu, diri-diri kami dan diri-diri kamu; kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta.”

Dalam membicarakan sebab-sebab turunnya ayat ini, para ahli tafsir telah  berpendapat yang selaras dengan pandangan para ulama lainnya, bahawasanya ayat ini turun ketika mana kaum Nasrani dari Najran telah bersetuju untuk menemui Rasulullah s.a.w untuk bermubahalah atau membuktikan kebenaran dengan Allah S.W.T.

Demi untuk bermubahalah dan membuktikan kebenaran risalah yang dibawanya lantas Rasulullah s.a.w telah keluar menemui orang-orang Nasrani itu bersama ahlul Baytnya  a.s.[Perkara ini boleh dirujuk dalam kumpulan hadith-hadith sahih yang enam bab Fadhail al-Khamsah, boleh juga dirujuk dalam tafsir Az-Zamakhshari, dan Imam Fakhur Razi serta Ad-Dar Manthur oleh al-Suyuti]

Mereka terdiri dari cucunda-cucundanya yang dikasihi iaitu al-Hasan dan al-Husayn a.s , puterinya Fatimah az-Zahra a.s yang berjalan di belakangnya dan saudaranya serta menantunya Ali bin Abu Talib a.s yang berjalan di belakang mereka.

Lalu Nabi s.a.w bersabda (terjemahan): Apabila aku menyeru kamu semua hendaklah beriman…….Akan tetapi setelah orang-orang Nasrani itu melihat wajah-wajah ahl Bayt Rasulullah s.a.w yang suci dan hebat itu menyebabkan jiwa mereka menjadi goncang dan meminta supaya Rasulullah s. a.w membatalkan tindakan mubahalah (pembuktian kebenaran dan laknat Allah).

Berikutnya mereka menerima dan taat terhadap pemerintahan Rasulullah s.a.w dan mereka membayar jizyah (cukai orang bukan Islam terhadap kerajaan Islam) kepada pemerintahan Madinah.

Di dalam ayat tersebut pembaca akan dapat melihat bahawa diibaratkan al Hasan dan al Husayn a.s sebagai anak-anak (Abna’), sedangkan Nabi Muhammad s. a.w dan Ali bin Abu Talib a.s sebagai diri-diri kami (Anfusana). Adapun Fatimah az-Zahra diibaratkan sebagai mewakili wanita Islam seluruhnya dengan lafaz (Nisa’ana).

Berdasarkan ayat tersebut dan huraiannya yang jelas itu telah memaparkan kepada kita mengenai ketinggian maqam dan kedudukan ahlul Bayt Rasulullah s. a.w sehinggakan apabila Rasulullah s. a.w ingin membuktikan kebenaran ajaran Islam dan konsep Isa al-Masihi menurut al-Qur’an lantas Rasulullah s. a.w mengajak keempat-empat ahlul Baytnya iaitu al Hasan dan al Husayn a.s serta Ali a.s dan Fatimah az-Zahra, untuk berdepan dengan orang-orang Nasrani (kristian) dari Najran itu.

Gambaran ketinggian darjat ahli keluarga Rasulullah s.a.w juga dapat diperhatikan di dalam ayat 23 Surah asy-Syura firman Allah, yang bermaksud:
“Katakanlah, aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang kepada keluarga yang terdekat (ahlul Bayt Rasulullah s. a.w).”

Para ulama tafsir berpendapat bahawa ayat tersebut turun berhubung dengan Ali, Fatimah, al Hasan dan al Husayn a.s.

Menurut riwayat seorang sahabat yang bernama Jabir bin Abdullah r.a katanya, seorang Arab telah datang kepada Rasulullah s. ‘a.w lantas berkata, wahai Muhammad, Kemukakan kepada saya apakah sebenarnya Islam itu? Lalu Rasulullah s. ‘a.w bersabda; Engkau hendaklah bersaksi bahawasanya Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa dan tidak ada sekutu bagiNya dan bahawasanya Nabi Muhammad itu adalah hambaNya dan rasulNya.” Orang Arab itu bertanya lagi, apakah upahnya ke atas perkara itu? Rasulullah s. a.w bersabda, tidak ada upahnya melainkan engkau memberikan kasih sayangmu kepada ahli keluargaku yang terdekat. Bertanya lagi lelaki itu: “Keluarga akukah ataupun keluargamu? Seterusnya Rasulullah s.a.w bersabda: Keluargaku. Berikutnya lelaki itu berkata; Datanglah aku ingin memberi bai’ah (taat setiaku) kepadamu, dan barang siapa yang tidak mengasihimu dan tidak mengasihi kum kerabatmu yang terdekat nescaya akan menerima laknat Allah. Rasulullah s. ‘a.w mengaminkan do’a lelaki tersebut.

Menurut kitab Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, Sahih Bukhari dan Muslim, Kitab ath-Tha’labi dan Tafsir At-Tibrasi yang kesemuanya meriwayatkan dari Abdullah bin al-Abbas r.a yang berkata bahawasanya ketika turun ayat tersebut maka para sahabat bertanya kepada Rasulullah s. a.w; Wahai Rasulullah siapakah  kerabatmu yang terdekat yang wajib kami curahkan kasih sayang kepada mereka. Sabda Rasulullah s.a.w; Mereka  ialah Ali, Fatimah dan kedua-dua putera mereka al-Hasan dan al-Husayn a.s.

Berasaskan keterangan tersebut amat nyata dan jelas tentang kedudukan al-Husayn dan ahlul Bayt a.s yang sedemikian tinggi di sisi Allah Azza wa Jalla.

Berikut ini akan dibentangkan pula sikap dan pendirian Rasulullah sebagai datuk kepada al-Husayn terhadap cucundanya yang tercinta itu. Tegasnya akan dikemukakan kedudukan al Husayn menurut Sunnah Rasulullah s.a.w:

1. Menurut kitab Sahih at-Tirmidzi yang memetik riwayat dari Ya’la bin Murrah yang berkata; Rasulullah s. ‘a.w telah bersabda yang bermaksud al Husayn daripadaku dan aku pula daripada al Husayn, Allah mencintai sesiapa yang mencintai al-Husayn, adapun al Husayn zuriat keturunanku putera kepada puteriku (az-Zahra).

2. Dari seorang sahabat Rasulullah s. a.w bersabda bermaksud, al Hasan dan al Husayn adalah cucundaku, sesiapa yang mengasihi kedua-duanya maka mereka mengasihiku dan sesiapa yang mengasihiku maka ia telah mengasihi Allah dan sesiapa yang mengasihi Allah maka ia akan dimasukkan ke dalam syurga; Dan sesiapa yang memusuhi kedua-duanya maka ia telah memusuhi Allah, dan barang sesiapa memusuhi Allah maka ia akan dicampakkan ke dalam api neraka mukanya akan terlempar dahulu.[ Lihat kitab I’lam al-Wara, at-Tibrasi bab Fadhail as-Sabtin, m.s. 219]

3. Seorang sahabat yang bernama al-Barra’ bin Azib berkata; Aku telah melihat Rasulullah s.a.w mendokong al Husayn cucundanya yang masih kecil dan meletakkan di atas pangkuannya seraya berdo’a yang bermaksud; Ya Allah sesungguhnya aku mengasihinya oleh itu kasihilah dia.

4. Manakala Abdullah bin Mas’ud r.a pula berkata; Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda mengenai al Hasan dan al Husayn a.s; Inilah kedua-dua cucundaku! Sesiapa yang mencintai kedua-duanya maka ia mencintaiku dan sesiapa membenci kedua-duanya maka sesungguhnya ia membenciku.

5. Putera al Husayn yang bernama Ali Zainal Abidin pula meriwayatkan dari bapa dan datuknya, katanya bahawasanya Rasulullah s.a.w telah mengangkat tangan al Hasan dan al Husayn dan bersabda; sesiapa yang mencintaiku maka hendaklah ia mencintai kedua-duanya akan menyertaiku pada hari Qiamat.[Sila rujuk kitab Tazkiratul Khawas karangan Ibn al-Juzi, Bab Mencintai Rasulullah dan al Hasan dan al Husayn]

Bersambung pada siri yang Kedua

Ammar Yasir
ammar_jadid@yahoo.com - 23.02.2005 ( marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: