SIRI SEJARAH ISLAM
Al Husayn bin Ali A.S – Cucunda Rasulullah S.A.W (Siri ke-2)
Oleh Ammar Yasir - Laman M@RHAEN

Kemurnian peribadi al Husayn a.s

Tidak dapat disangkal lagi bahawa kedua cucunda Rasulullah s.a.w al Hasan dan al Husayn a.s telah membesar dan terasuh pada satu tahap yang dipersiapkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla. Ini kerana mereka akan menghadapi tugas yang besar untuk memimpin umat Islam dan seluruh dunia selepas kewafatan datuk mereka Rasulullah s. a.w. Mereka juga berperanan besar untuk menegakkan dakwah dan risalah Islam sebagai lanjutan peranan Rasulullah s. a.w.

Pendek kata kedua-dua putera Fatimah az-Zahra ini telah melalui suatu proses tarbiyah dan asuhan kerohanian dan pemikiran di bawah naungan nenda mereka Nabi Muhammad s. a.w dan kedua-dua ibu bapa mereka yang tercinta Saidina Ali bin Abu Talib a.s dan Fatimah az-Zahra binti Rasulullah s.a.w.

Oleh yang demikian kemurnian peribadi cucunda Rasul Islam yang agong s. a.w itu menjadi sebati dan sepadu dengan risalah Allah Tabaraka wa Ta’ala. Lebih-lebih lagi sekiranya kita tinjau dari sudut aliran pemikiran mereka, tindakan dan perjuangan mereka yang agong.

Di sini penulis akan membentangkan beberapa gambaran mengenai keperibadian as Syahid Saidina al Husayn a.s yang disoroti  dari aspek pemikiran, ideologi, kerohanian dan amalan-amalannya.

Hubungan Saidina al Husayn a.s dengan Allah SWT

Dengan batasan kemampuan yang ada, penulis ingin membentangkan secara menyeluruh bagaimana mendalamnya hubungan al Husayn a.s, pemimpin para Syuhuda ini dengan Tuhannya yang dirinduinya.

Keperibadian dan sudut kerohanian beliau ini boleh dikaitkan dengan asuhan datuknya Rasulullah s.a.w dan kedua-dua orang tuanya yang suci. Malah keperibadian ketiga-tiga pengasuhnya itu terpancar nyata pada keperibadian al Husayn a.s.

Pernah pada suatu hari beliau ditanya oleh seseorang; Apakah yang menyebabkan engkau sedemikian takut kepada Allah? Lantas Saidina al Husayn a.s yang juga dikenali sebagai Imam al Husayn a.s berkata yang bermaksud ; Seseorang itu tidak akan mencapai kesejahteraan pada hari qiamat melainkan bagi mereka yang benar-benar takut kepada Allah di dunia.

Pada suatu ketika yang lain Imam al-Husayn a.s. dilihat sedang mengambil wudhu untuk bersembahyang lalu didapati berubah air mukanya dan menggeletar seluruh jari-jarinya, lalu seseorang bertanya mengenai keadaannya yang demikian itu. Berikutnya Imam berkata yang bermaksud; Inilah hak bagi sesiapa yang menyedari Allah yang Maha Perkasa menguasai kedua-dua tangannya nescaya ia akan menghadapi keadaan berubah air mukanya dan menggeletar jari-jarinya.

Untuk melihat dengan lebih nyata perihal mendalamnya hubungan al Husayn a.s. dengan Allah ialah dengan memerhatikan kebesaran peribadinya pada peristiwa Karbala yang membawa kepada kesyahidannya.

Pada malam kesepuluh bulan Muharram yang suci (Asyura) Imam al Husayn a.s. yang sedang dikepung oleh tentera Bani Umaiyah telah meminta mereka membenarkannya dalam detik terakhir dari kehidupannya untuk melakukan sesuatu.

Katanya yang bermaksud; Sesungguhnya kami ingin menunaikan sembahyang dan berdoa pada Tuhan kami pada malam ini serta ingin benar kami memohon ampun kepadaNya. Kerana sesungguhnya Dia (Allah) amat mengetahui bahawa aku amat rindu untuk sembahyang kepadaNva, membaca kitabNva serta memperbanyakkan doa dan istighfar.

Malah dalam detik-detik terakhir hayatnya Imam al-Husayn a.s masih sempat bersembahyang zuhur pada siang hari di Padang Karbala dan meminta kepada para penyerang memberinya kesempatan untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah.

Inilah jalan hidup yang dilalui oleh imam umat Islam, cucunda kepada Rasulullah s.a.w yang tercinta. Lihatlah bagaimana kuatnya kerinduan dan keasyikan Imam al-Husayn a.s. kepada khaliqnya, pencipta dan pendidiknya.

Antara doa yang sering dikumandangkan oleh beliau adalah sebagaimana berikut (terjemahan):

“Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku kerinduan dan kecintaan pada akhirat, sehingga aku mengenali kebenarannya di dalam hatiku dengan timbulnya rasa zuhud terhadap keseronokan duniaku. Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku melihat dengan nyata segala urusan akhirat sehingga aku menuntut kebaikan-kebaikannya secara bersungguh-sungguh dan hindarilah diriku dari kejahatan dengan penuh perasaan takut untuk melakukannya…….Ya Rabbi…..”
Inilah sebahagian daripada kenyataan tentang hubungan kerohanian di antara al-Husayn a.s dengan Tuhannya SWT dan ekoran dari hubungan ini kami akan membentangkan pula keterampilan dan kecemerlangan pergerakan revolusi al Husayn a.s, pengorbanannya untuk menegakkan Islam, dan kesastriannya dalam menegakkan konsep jihad Islam yang sebenar-benarnya pada jalan Allah Subhanahu wa-Ta’ala.

Hubungan Imam Husayn a.s dengan manusia

Seandainya kita ingin mendalami aspek akhlak dari keperibadian Imam al-Husayn a.s maka amatlah wajar kita melihatnya dari segi perhubungan timbal balas beliau dengan umat manusia yang ditinjau dari berbagai suasana berasaskan bahawa beliau menjadi suri teladan kepada umah.

Bolehlah dikatakan bahawa keperibadian al-Husayn a.s dari sudut ini sebagaimana juga yang dilalui oleh para Imam umat Islam  yang lain yang mana perhubungan dengan manusia dibataskan oleh perundangan Allah SWT. Dengan kata-kata lain perlaksanaan amalan hidup beliau ini tergambar secara nyata dalam dunia kenyataan.

Sungguhpun begitu di sini akan disoroti sebahagian dari aspek akhlak al-Imam yang memaparkan ketinggian budi pekertinya.

Merendah diri

Apabila beliau melalui suatu perhimpuan orang-orang faqir miskin yang sedang menjamu makanan, lantas beliau memberi salam ke atas mereka. Berikutnya orang-orang faqir tadi menjemputnya untuk makan bersama mereka, lalu Imam al-Husayn a.s duduk bersama mereka dan berkata; Kalaulah makanan ini tidak merupakan sedekah dari orang ramai nescaya aku akan makan bersama anda semua. Kemudian beliau berkata; Silalah datang ke rumah saya, lantas kesemua mereka berpergian ke rumah al Husayn a.s dan menikmati jamuan yang lazat serta mereka dilayani dengan sewajarnya.

Adalah sesuatu yang di luar kemampuan penulis untuk membentangkan secara terperinci tentang sifat merendah diri, tawadhu’ dan ketinggian budi al-Husayn a.s. Namun begitu boleh dikatakan beliau telah mencapai tahap tertinggi sebagai pemimpin umat, sumber rujukan pemikiran dan perjuangan umat Islam sebagaimana yang telah digariskan oleh nas-nas al-Qur’an dan hadith-hadith Rasulullah s.a.w.

Adapun pencapaian yang tertinggi di dalam masyarakat sezamannya tidak mampu disaingi oleh tokoh-tokoh lain, walaupun oleh saudaranya sendiri Abdullah bin Abbas sekalipun yang lebih tua darinya. Malah Ibnu Abbas menghormati kedudukan al-Husayn a.s sehingga ia menarik tali tunggangan yang ditunggangi oleh al-Husayn a.s sebagai tanda penghormatan dan kasih sayang.

Perihal kecintaan masyarakat Islam dan penghormatan mereka kepada al-Husayn a.s dapat dilihat ketika mana beliau sedang menunggang kenderaannya untukmenunaikan fardhu haji di Mekah maka orang ramai telah turun dari kenderaan masing-masing untuk menyatakan penghormatan mereka kepada cucunda Rasulullah s.a.w.

Secara ringkas boleh dikatakan kemuliaan martabat beliau terletak kepada sikap merendah dirinya sehingga boleh bergaul dengan masyarakat yang paling sederhana pada zaman itu. Inilah jalan hidup seorang zahid yang dituntut oleh Islam.

Contoh yang paling dekat jika kita perhatikan bagaimana pada suatu ketika al-Husayn ‘a.s melalui suatu perhimpunan orang-orang miskin yang sedang menghadapi makanan mereka mengajak beliau makan bersama lantas al-Imam turun dari kenderaannya dan makan bersama mereka seraya berkata; Sesungguhnya  Allah tidak menyukai orang-orang yang berbesar diri. Al-Husayn a.s menyatakan lagi; Sesungguhnya aku telah menerima pelawaan anda maka terimalah pula pelawaanku. Mereka berkata; Boleh! Lalu mereka semua diajak ke rumahnya dan menjemput mereka dengan katanya; Masuklah anda ke dalamnya dengan penuh kelapangan.

Satu contoh lagi mengenai peranan positif beliau di dalam masyarakat tergambar nyata dari keterangan Syu’aib bin Abdul Rahman katanya; Pada suatu hari didapati suatu beban yang berat di atas bahu al-Husayn bin Ali, lantas orang bertanya puteranya Zainal Abidin mengenainya. Kata beliau; Inilah tugas yang mesti dilaksanakan bagi sesiapa yang memikul bebanan untuk meringankan penderitaan yang dibawa ke rumah-rumah golongan miskin, yang terlantar dan anak-anak yatim.

Inilah gambaran tanggungjawab sosial Imam al-Husayn a.s yang mengisyaratkan ketinggian darjatnya di dalam masyarakat.

Al-Husayn a.s Seorang Pemaaf

Pada suatu hari seorang budak yang melakukan kesilapannya kepada al-Husayn a.s telah berkata kepadanya: Wahai Tuan! Dan orang-orang yang menahan amarahnya (Firman Allah Surah Ali Imran: 134). Imam al-Husayn ‘a.s berkata; Terhindarlah aku daripadanya. Lantas budak itu berkata;…….Dan orang-orang memaafkan (kesalahan) orang. Imam berkata; Aku telah memaafkan dikau. Budak itu berkata: Wahai Tuan! Dan Allah menyukai golongan yang berbuat baik. Lalu Imam berkata kepada khadamnya itu; Dan anda dimerdekakan kerana Allah, jika anda kekurangan sesuatu bolehkah aku menolongmu.[Sumber Kasyful Ghimmah, Juzu’ 2, hlm. 241]

Keindahan Jalan Pemikiran Al-Imam

Jalan pemikiran dan minhaj yang dilalui oleh al-Imam ialah jalan yang disyariatkan oleh Allah, perhatikan dialog beliau dengan penentangnya dari puak Khawarij iaitu Nafi’ bin al-Azraq yang berkata dengan angkuh kepadanya; “Sifatkanlah aku ini sebagai Tuhanmu yang disembah olehmu!’ Dengan penuh kebijaksanaan dan diplomasi al-Husayn ‘a.s menyatakan; Wahai Nafi’! Sesiapa yang meletakkan agamanya di atas jalan kias, maka ia tidak akan mencapai apa-apa faedahpun, ianya kosong tanpa jalan yang terang, terlonta-lonta tanpa pedoman, sesat kehilangan arah tujuan, berkata-kata tanpa keindahan, Wahai Putera al-Azraq! Sifatkanlah Ilahi Allah sebagaimana Dia menyifatkan diriNya, Dia tidak boleh dicapai dengan pancaindera, dan tidak boleh dikiaskan atau dibandingkan, yang terlalu dekat tanpa boleh disentuh, dan yang terlalu jauh tanpa hujungnya, Dia Maha Esa tanpa memiliki bahagian, dikenaliNya berdasarkan tanda-tanda ciptaanNya, yang boleh disifatkanNya dengan alamat-alamat dari makhlukNya, Tiada Tuhan Yang Layak di sembah melainkan Dia yang Maha Besar lagi Maha Melaksanakan….

Mendengar ucapan al-Husayn ‘a.s itu Ibn al-Azraq menangis tersedu-sedu tanda penyesalannya yang tiada taranya seraya berkata; Alangkah indahnya kata-katamu![Lihat tulisan Abu ‘Ilm Ahl Bayt, Bab Keilmuan, Kefasihan dan Ketinggian pidatonya]

Dalam perjalanannya menuju Karbala, al-Imam mengungkapkan ucapannya yang menggariskan pendirian dan sikapnya untuk menegakkan kebenaran Islam, demi menentang kezaliman dan penipuan politik musuhnya yang durjana Yazid bin Muawiyah.

Dengarlah kata-kata al-Imam Husayn a.s; “Sesungguhnya dunia ini telah berubah dan mengingkari haq, kebenaran telah ditinggalkan, tidak ada lagi yang tinggal padanya melainkan semut-semut dibekas-bekas makanan. Demikianlah tandusnya kehidupan sebagai penggembala kehilangan ternakannya. Tidakkah anda melihat kebenaran dan kenapakah tidak melaksanakannya? Akan tetapi kebatilan  dan kejahatan mengapa tidak boleh dihentikan……untuk menggembirakan seorang beriman dalam pertemuan dengan Allah…..ianya suatu kepastian. Sesungguhnya aku tidak melihat kematian, dan maut yang mendatang melainkan dengan penuh kebahagiaan, hidupku bersama dengan si zalim bagaikan duri yang menikam serta api yang membakar. Sesungguhnya manusia telah menjadi hamba dunia dan agama hanya berputar di lidah-lidah mereka, demikian jalan kehidupan yang dijalani oleh mereka, maka apabila mereka ditimpa dugaan hidup lantas mereka berkata telah hampirnya kami kepada kematian.”[Al-Hirani, Tuhful ‘Uqul ‘an Ali Rasul, Bab Apa yang ku lihat tentang al-Imam Husayn  bin ‘Ali, hlm. 174]

Gambaran pemikirannya mengenai ibadah dan konsep perhubungan hamba dengan Allah terlukis dengan menariknya di dalam satu rangkaian ucapannya:

“Sebenarnya suatu golongan yang beribadat kepada Allah dengan rasa sukacita dan kelapangan maka itulah ibadat para pedagang. Adapun golongan manusia yang beribadat kepada Allah dalam keadaan takut dan penuh pengharapan, maka itulah ibadat golongan hamba Allah. Adapun suatu golongan yang beribadat kepada Allah dengan rasa penuh kesyukuran maka itulah ibadat golongan yang merdeka dan inilah bentuk ibadat yang paling utama.” [Al-Hirani, Tuhful ‘Uqul ‘an Ali Rasul, Bab Apa yang ku lihat tentang al-Imam Husayn  bin ‘Ali, hlm. 175]
Selanjutnya perhatikanlah pendirian politik Imam al-Husayn a.s ketika beliau mengupas perihal kerajaan Umaiyyah yang dilihat dari kacamata Islam; “Wahai manusia sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda; sesiapa yang melihat suatu pemerintahan yang menyimpang iaitu menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah, mengengkari perjanjian dengan Allah serta menentang sunnah Rasulullah s.a.w mereka pula melaksanakan perintah terhadap hamba-hamba Allah dengan membawa unsur dosa dan permusuhan, sedangkan ia tidak membuat perubahan sama ada dengan perbuatan dan perkataan, maka menjadi hak Allah untuk memasukkannya ke dalam neraka.” Berkata Imam al-Husayn a.s lagi; “Ketahuilah bahawasanya mereka itu sentiasa mentaati syaitan, serta meninggalkan ketaatan kepada Allah Yang Maha Pemurah. Selanjutnya mereka melanggar undang-undang Allah, suka menyebarkan fitnah, menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah serta mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah. Ketahuilah bahawa aku bertanggungjawab terhadap orang lain. Dan seterusnya aku telah difahamkan dengan perutusan kamu dan aku juga telah menerima kedatangan utusan anda semua yang menyatakan bai’at atau persetiaan kamu. Sesungguhnya mereka tidak dapat menyelamatkan aku dan tidak juga dapat memecatku. Seandainya telah sempurna bai’at kamu maka ikutilah pemikiran yang betul. Sesungguhnya aku ialah al-Husayn ‘a.s bin Ali ‘a.s yang juga putera Fatimah binti Rasulullah s. ‘a.w, diriku  adalah berserta diri kamu semua, keluargaku bersama keluarga kamu. Aku  adalah suri teladan bagi kamu, lalu kamu semua telah mengikat perjanjian denganku dan kamu semua telah mengikat perjanjian denganku, dan kamu semua juga telah terikat untuk membai’atku. Oleh itu bagaimanakah kiranya anda semua telah mengengkari semuanya. Sesungguhnya tindakan yang demikian itu ditujukan kepada ayahandaku, saudaraku dan sepupuku Muslim bin ‘Aqil. Terpulanglah kepada kamu untuk melaksanakan persetiaan itu. Sesiapa berusaha dan beramal maka kesemua itu untuk kebaikan dirinya nescaya Allah akan mencukupkan kamu.” [Al-Hirani, Tuhful ‘Uqul ‘an Ali Rasul, Bab Apa yang ku lihat tentang al-Imam Husayn  bin ‘Ali, hlm. 175]

Bersambung pada siri yang Ketiga

Ammar Yasir
ammar_jadid@yahoo.com - 01.03.2005 ( marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: