REFORMASI
WAJAH BARU
Sambil
melayari laman-laman reformasi yang tertera pada skrin komputer, saya meninjau
tulisan Raja Petra yang terkini dan juga tulisan Fathi Aris yang cuba membawa
perubahan sikap kepada pejuang reformasi.Antara idealisme dan realiti perjuangan
hari ini, saya merasa gusar kejayaan menanti di hadapan.
Hakikatnya
cengkaman pemerintah begitu kuat di mana-mana saja dan apa bidang sekali
pun. Bagi sebahagian simpatisan yang terdiri daripada golongan pelajar
pengajian tinggi dan juga pegawai kerajaan, sokongan ini tidak akan ditunjuk
langsung kerana banyak ulat-ulat yang mengambil kesempatan untuk menjahanamkan
musuh mereka atau sesiapa sahaja yang tidak disukai mereka. Apa-apa sahaja
tindakan akan dikenakan sekiranya jelas sikap menyokong pembangkang dipaparkan
waima hanya menggantungkan kad yang menampilkan wajah DSAI. Malah saya
pernah diminta untuk menurunkan kad tersebut kerana takut ada pihak akan
mengambil kesempatan menganiaya saya menggunakan alasan simpatisan kepada
pembangkang. Sebagai anak didik DSAI, perasaan demikian memang memualkan.
Di kalangan
golongan profesional pula, banyak lebih senang mendiamkan diri walau pun
mereka memang bersimpati. Teman saya sentiasa mengatakan apa pun undi itu
rahsia. Tetapi berbual-bual dengan golongan bangsa asing khususnya Cina
membuka mata saya bahawa perjuangan PAS mestilah membuat anjakan paradigma
dalam isu negara Islam. PAS sentiasa membuka ruang untuk perdebatan hangat
dengan DAP. Gunakanlah hikmah dengan bijaksana khususnya Haji Hadi dan
Nik Aziz apabila diprovok oleh pihak akhbar khususnya Utusan
Meloya. Kadang-kadang saya begitu terkesan dengan kenyataan Nik Aziz dan
Haji Hadi kerana kurang peka dengan reaksi kaum bukan Islam. Golongan bukan
Islam di Kelantan memanglah telah sedia menerima PAS tetapi belum tentu
lagi bagi di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya atau mana-mana bandar di pantai
Barat. DAP pula janganlah berlagak angkuh dengan kenyataan yang dikira
dapat menarik penyokong bukan Islam dengan memperkecil-kecilkan PAS dan
idealismenya. Lewat waktu ini baik pihak tertinggi DAP ataupun Setiausahanya
nampak sangat nak menarik sokongan bukan Islam dengan kenyataan yang
agak sombong. PAS telah membuka ruang untuk perbincangan. Inilah masanya
strategi untuk pilihanraya perlu disusun dengan kemas bukannya soal siapa
lawan siapa. Perlwanan mestilah satu lawan satu. PAS sedia bertolak ansur
dalam hal ini kenapa DAP tidak. Sekurang-kurangnya DAP mesti sedar, PAS
sudahpun menubuhkan dua kerajaan negeri, DAP semakin kehilangan pengaruh
terutamanya pemimpin tertinggi mereka sendiri tewas walaupun berpindah
gelanggang. Ini hakikat yang mesti diterima oleh DAP. Keadilan pun hanya
berjaya meraih satu dua kerusi sahaja walaupun banyak tempat telah diserahkan
kepadanya.
Masih banyak
yang perlu dilakukan oleh PAS untuk mengatasi masalah ketakutan kepada
unsur Islam malah apabila disiram minyak oleh Mamak Menteri dan juak-juaknya,
bertambah lagi buruk keadaannya. Tolak ansur perlu wujud dalam hal ini,
hakikatnya negara kita dibentuk bukan atas dasar Islam walaupun perlembagaan
jelas mengatakan Islam sebagai agama rasmi. Sekularisme menjiwai perlembagaan
negara kita. Oleh itu pengaruh ini bukan sahaja menjiwai orang bukan Islam
malah orang Islam sendiri gusarkan PAS kerana kelak nanti di TV atau radio
yang ada hanyalah rancangan agama semata-mata. Oleh itu kewujudan Kedailan
membawa satu perimbangan dalam suasana ini. Namun Keadilan haruslah bijak
menangani ruang yang tidak dapat dipenuhi oleh PAS ini.
Isu DSAI boleh
diketengahkan di peringkat antarabangsa tetapi isu DSAI tidak mempengaruhi
penduduk Sabah dan Sarawak. Mereka belum kenal mesra dengan DSAI malah
isu itu tidak isu sebenarnya di sana. Kesempatan berbincang dengan penduduk
di sana, saya dapati Keadilan perlulah mengorak langkah lebih jauh lagi.
PAS memang sukar untuk bertapk di sana kecuali tempat-tempat tertentu atau
tindakan yang lebih agresif oleh pemimpin PAS menjenguk penduduk di sana
khususnya Nik Aziz dan Haji Hadi berjinak-jinak dengan umat Islam di Sabah
dan Sarawak.
Apa pun janganlah
sewenang-wenangnya membuat kenyataan akhbar yang membuatkan penyokong di
atas pagar mengatakan pendirian mereka dalam pilihanraya akan datang melompat
kepada pemerintah. Saya sendiri muak melihat gelagat pemimpin DAP yang
somvong tak bertempat, bagai merak mengigal di hutan dan pemimpin PAS yang
memberikan kenyataan akhbar macam orang tak sekolah. Keadilan pula jangalah
berpaut kepada DSAI sahaja. Azmin harus mengubah sikapnya yang sombong
dengan grass root. Ezam kini berada di luar, maka janakanlah gerakan pemuda
dengan sepantas mungkin. Moga-moga pandangan ini dapat diterima kerana
saya ingin sekali melihat BA memerintah dengan mendapat undi mereka
yang di atas pagar ini dan juga janganlah sikap-sikap anda menyebabkan
simpatisan ini (memang besar jumlahnya) beralih undi pula. Sekian.
- Juang Satu
- 17.06.2003