ANWAR TERHARU SAMBUTAN DI MANCHESTER, UNITED KINGDOM
Rakyat Malaysia Di Manchester Puas Hati.

InfoM@RHAEN
dengan kerjasama Sekretariat Keadilan Antarabangsa Eropah & Penerangan Keadilan

Assalamualaikum Rakan-rakan sekelian.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berasa sungguh gembira dan terharu dengan sambutan masyarakat Malaysia di Manchester ketika kunjungannya ke sana Ahad lalu dan lebih terharu lagi apabila mengetahui bahawa mereka semua hadir dalam keadaan tekanan   dari Kerajaan, agensi kerajaan serta Petronas yang amat kuat dengan risiko biasiswa ditarik balik, diberi surat tunjuk sebab atau dihantar pulang terus ke tanah air.  Namun mereka tidak menghiraukannya dan datang beramai-ramai mengikuti program tersebut dari mula hingga akhir.

Walaupun tidak kesemua pelajar yang tinggal di Manchester hadir kerana khuatir akan dikenakan tindakan, namun kehadiran seramai tidak kurang dari 200 orang itu sudah cukup membuktikan bahawa Anwar Ibrahim adalah satu nama yang besar bukan sahaja di dalam senario politik di Malaysia, malahan juga di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, ramai pelajar yang telah mendapat panggilan telefon serta emel daripada penganjur masing-masing dan juga dari para pegawai Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di London dan diugut agar tidak hadir ke sebarang program yang melibatkan Anwar Ibrahim.  Lebih mengecewakan lagi, para pelajar juga dilarang dari bersua muka, bersalaman serta bertembung dengan beliau.  Tekanan ke atas pelajar semakin kuat apabila tarikh kedatangan Anwar semakin hampir dan penganjur menerima maklumat seramai 10 orang anggota PDRM dari Bukit Aman telah tiba di Manchester 2 hari sebelum kedatangan Anwar bagi memantau keadaan seolah-olah undang-undang Malaysia diterima pakai di Britain.  Ia juga ada berkaitan dengan kedatangan TPM pada minggu depan.

Hampir kesemua pelajar di Manchester yang menyatakan rasa minat untuk hadir tetapi khuatir akan dikenakan tindakan oleh penaja mereka menyatakan rasa kecewa mereka atas tindakan kerajaan Malaysia dan MSD menakut-nakutkan mereka seperti kanak-kanak kecil dan langsung tidak menggunakan kebijaksanaan dalam menjalankan tugas.

Mereka juga faham bahawa tindakan ini adalah kerana mereka (MSD) khuatir jika pelajar terpengaruh dengan Anwar yang dikenali berkarisma dan bijak berpidato akan menyebabkan sambutan lawatan Najib terjejas dan ini akan memalukan mereka (MSD dan pegawai-pegawai Najib).

Selain masyarakat Malaysia di Manchester, program tersebut juga mendapat perhatian daripada masyarakat Malaysia yang tinggal di Sheffield, Liverpool, Bolton, Birmingham, Edinburgh (Scotland), Dublin (Ireland), Cardiff (Wales) dan London.  Ada  yang datang sehari lebih awal dan menumpang di rumah kawan-kawan di Manchester bagi mengelakkan daripada terlewat dan terlepas peluang menatap wajah pemimpin kesayangan mereka serta bergambar dan  bersalaman.  Dewan juga dipenuhi oleh sebilangan masyarakat Britain keturunan Pakistan, India, Bangladesh dan Afghanistan serta pelajar-pelajar dari negara Indonesia, Singapura, Afrika dan Arab seperti Libya dan Mesir.

Anwar yang diiringi oleh Datin Seri Wan Azizah Ismail dan Saudara Azmin Ali tiba dari Oxford tepat jam 12.55 minit tengah hari.  Ketibaan beliau disambut oleh Presiden dan Naib Presiden Keadilan Antarabangsa Eropah serta Imam Masjid Khidzrah, Qari Badaruddin.  Beliau beramah mesra bersama petugas-petugas program dan terus ke dewan sembahyang bagi mengerjakan Solat Zohor berjemaah.

Selesai solat, Anwar sambil diiringi oleh Timbalan Datuk Bandar Manchester, Afzal Khan turun ke dewan di tingkat bawah masjid tersebut.  Acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Imam Besar Masjid Khidzrah, Qari Badruddin.  Kemudian syarahan yang dipengerusikan oleh Timbalan Datuk Bandar Manchester bermula dengan Anwar mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, Keadilan Antarabangsa Eropah (KAE) serta United Kingdom Islamic Mission (UKIM) dan Pejabat Datuk Bandar Manchester kerana memberi peluang kepada beliau bertemu dan berdialog bersama warga Islam di Manchester dan juga rakyat Malaysia di sini.  Anwar juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga di atas sambutan yang tidak disangka-sangkakan.

Di dalam ucapan beliau, beliau menegaskan betapa pentingnya kepimpinan sebuah negara yang adil dan amanah dan beliau juga berkali-kali menekankan bahawa, jika sesuatu itu salah, ianya tetap salah dan patut ditentang habis-habisan begitu juga sebaliknya.   Inilah yang beliau tekankan ketika bertemu dengan Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Paul Wolfowitz di Amerika baru-baru ini bahawa tindakan Amerika di Iraq adalah salah begitu juga dengan Israel di Palestin.  Beliau bersetuju dengan tindakan Syria mengundurkan tentera mereka jika Amerika turut mengundurkan tenteranya dari Iraq dan Israel keluar dan wilayah Palestin.

Anwar juga mengajak umat Islam agar bersatu menentang keganasan dan bersama menaikkan semula Islam di mata barat dengan menghormati bangsa lain dan berharap barat akan turut menghormati umat Islam di seluruh dunia.

Beliau  juga menyatakan keprihatinan beliau terhadap tindakan ke atas orang-orang Islam di Britain di mana mereka berada dalam keadaan yang serba salah akibat dicapkan sebagai pengganas hanya kerana mereka Islam.  Beliau berharap agar kerajaan Britain akan lebih berhati-hati di dalam tindakan mereka membanteras pengganas di Britain dan tidak menganiaya orang Islam yang ikhlas menjalankan tanggungjawab mereka untuk agama.  Ini adalah kerana berlakunya kejadian di mana rumah orang Islam di Britain ini diserbu oleh pasukan anti-pengganas Britain dan mereka ditahan tanpa bukti yang jelas dan akhirnya mereka dibebaskan oleh mahkamah Britain kerana ketiadaan bukti bagi mendakwa mereka dengan undang-undang anti-keganasan yang baru digubal oleh Parlimen Britain.

Ketika ditanya oleh salah seorang yang hadir mengenai kejadian yang menimpa ke atas beliau, Anwar menegaskan bahawa beliau tidak menyimpan sebarang dendam kepada sesiapa pun, dan sudah pun memaafkan mereka yang menganiaya beliau.  Namun, beliau tetap tidak akan melupakan apa yang terjadi ke atas dirinya dan kesengsaraan serta tekanan yang dialami oleh keluarga beliau dan rakan-rakan beliau termasuk beribu-ribu penyokongnya ketika dipenjarakan.  Anwar menyatakan bahawa beliau tahu dan mengambil berat ke atas nasib penyokongnya yang dipukul, ditangkap dan dipenjarakan kerana dirinya dan berjanji akan berusaha membantu apa yang terdaya apabila pulang nanti.

Anwar meluahkan kekecewaan beliau kerana keadaan rasuah di Malaysia bertambah menjadi-jadi sekarang dari apa yang berlaku sewaktu beliau di dalam kerajaan.  Beliau menyatakan bahawa dirinya didakwa dan dipenjara atas tuduhan rasuah walaupun tidak melibatkan sesen wang pun tetapi mereka yang jelas melakukan rasuah dengan jumlah yang begitu banyak, bebas melakukannya dan masih lagi dibiarkan walaupun ada bukti jelas mengenai kelakuan mereka.

Ucapan beliau keseluruhannya dilakukan di dalam bahasa Inggeris dan diselang-selikan dengan Bahasa Malaysia bagi menghormati masyarakat antarabangsa yang hadir.

Anwar juga dengan lantang menyatakan rasa kecewa beliau di atas tindakan kerajaan Malaysia yang menghalang para pelajar daripada bertemu dengan beliau kerana ini amat bertentangan dengan semangat dan amalan demokrasi di negara ini dan  juga di Malaysia.  Katanya “saya mendapat tahu, pelajar akan dikenakan tindakan seperti diberi surat tunjuk sebab, ditarik balik biasiswa atau dihantar terus pulang ke Malaysia jika mereka didapati hadir di mana-mana program saya malah mereka juga dilarang daripada bertembung atau bersalaman dengan saya”.

Tambah beliau “ketika saya menjadi Menteri Pendidikan dahulu, saya menggalakkan para pelajar dari pelbagai peringkat bertemu dan berdialog dengan sesiapa sahaja dengan fikiran terbuka agar mereka dapat memperolehi ilmu dari mereka yang berpengalaman dan berpengetahuan, ini tidak, pelajar dilarang, macam mana mereka hendak maju?”

 “Saya telah nyatakan akan hal ini kepada Presiden University Oxford, Chris Patten dan beliau mengambil berat akan hal ini dan berjanji akan bertindak jika terdapat pelajar Malaysia yang dikenakan tindakan oleh kerajaan Malaysia.  Gordon Brown, (Menteri Kewangan dan Menteri Kanan Britain) juga berjanji akan membantu di pihak kerajaan Britain”.   Oleh itu, Anwar meminta mana-mana pelajar yang menerima surat dari penganjur mereka walau rakaman percakapan telefon sekali pun, diminta menghubungi beliau atau Chris Patten di Oxford University bagi tindakan selanjutnya.

Pertemuan selama 3 jam itu memberikan hasil yang amat positif kepada Anwar dan mereka yang hadir dan banyak persoalan yang selama ini bermain di fikiran dan benak mereka yang hadir terjawab dan ramai yang menyatakan rasa gembira dan puas hati yang tidak terhingga..

Selepas program ditutup dengan bacaan doa oleh Imam Badruddin, Anwar diserbu oleh pelajar dan masyarakat Malaysia serta antarabangsa untuk bersalaman, bertanya khabar dan bergambar.  Perkara yang sama juga berlaku ke atas Wan Azizah di mana beliau diserbu oleh kaum wanita yang hadir yang terdiri dari pelajar dan isteri-isteri yang menemani suami belajar juga sebahagian pemastautin tetap di sini..  Anwar dan Wan Azizah mengambil masa selama hampir 30 minit untuk bergerak dari pentas tempat beliau berucap ke meja makan yang hanya terletak dalam lebih kurang 15 meter sahaja lantaran terlalu ramai yang berpusu-pusu untuk bergambar dengan beliau.

Di dalam satu program yang berasingan, Anwar menegaskan bahawa beliau begitu yakin dengan perjuangan Parti Keadilan Rakyat dan teguh dengan komitmen beliau terhadap Parti.  Beliau juga berkata bahawa PKR adalah sebuah parti yang terbaik di Malaysia.  Namun, beliau akui akan kekuatan BN dan UMNO buat masa ini dan berharap agar semua pemimpin dan ahli PKR tak kira di mana sahaja berada agar bekerja lebih kuat lagi bagi menjamin kejayaan parti.

Anwar berkata demikian ketika berehat sambil bertemu ahli-ahli KAE dan penyokong Barisan Alternatif di kediaman Presiden Keadilan Antarabangsa Eropah di sana selepas program berakhir.

Beliau berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada semua pendokong KAE di atas segala daya usaha untuk menganjurkan program ini walaupun menghadapi tekanan yang amat kuat dan berjanji untuk membantu sehingga ke keringat terakhir jika sekiranya ada di antara mereka yang diambil tindakan oleh pihak penaja mereka.

Dalam isu penubuhan IRC, Anwar dengan jelas menyatakan bahawa walaupun Parti Keadilan merupakan sebuah Parti yang berbilang bangsa dan agama secara total, namun beliau tidak merasa apa-apa masalah jika IRC ditubuhkan asalkan ianya dianggotai oleh mereka-mereka yang bukan beragama Islam.

Apabila ditanya mengenai desas desus yang mengatakan bahawa beliau diramalkan akan menjadi PM selepas Pak Lah dan akan melatih Khairy Jamaluddin bagi menggantikan beliau selepas itu, Anwar menjelaskan bahawa daripada beliau melatih Khairy, adalah lebih baik beliau melatih ahli PKR yang lain yang lebih komited dengan perjuangan PKR.  Beliau menganggap ini adalah perkara biasa di dalam politik dan tidak mengambil berat akan hal ini.

Anwar menjelaskan bahawa agenda beliau sekarang adalah membawa Parti Keadilan ke peringkat antarabangsa bagi mendapat pengiktirafan dan sokongan di seluruh dunia dengan bantuan ramai rakan dan kenalan beliau sewaktu beliau di dalam kerajaan dahulu.  Katanya, apabila PKR telah kuat di peringkat antarabangsa, maka beliau akan pulang ke tanah air dan dengan bekalan kekuatan jentera parti, beliau akan memacu PKR ke arah sebuah parti yang benar-benar kukuh dan kuat dan mendapat keyakinan rakyat untuk memerintah negara.   Ini juga kata beliau, merupakan kelebihan bagi Barisan Alternatif kerana PAS agak sukar untuk mendapat tempat yang sebegini di peringkat antarabangsa terutama di negara barat kerana imej Islam mereka yang belum boleh diterima oleh barat terutama Amerika dan Eropah buat masa ini, begitu juga dengan DAP.

Anwar menegaskan bahawa beliau akan bekerjasama dengan Presiden PAS Tn. Guru Datuk Seri Hj. Hadi Awang di dalam meningkatkan sokongan rakyat kepada Barisan Alternatif.

Anwar dan rombongannya meninggalkan Manchester tepat jam 5.30 petang dengan penuh kepuasan dan bagi penyokong PKR dan Barisan Alternatif di Manchester mereka merasa sungguh berpuas hati dapat melepaskan rindu untuk menatap wajah pemimpin kesayangan mereka dan sepakat menyatakan bahawa Anwar Ibrahimlah satu-satunya pemimpin yang benar-benar layak memimpin Malaysia ketika ini dan berikrar akan berusaha sedaya yang termampu untuk membantu memastikan kejayaan PKR dan Barisan Alternatif di dalam setiap pilihan raya di masa akan datang.
 

SEKRETARIAT
KEADILAN ANTARABANGSA EROPAH (KAE)
MANCHESTER
UNITED KINGDOM (est. 2000)

InfoM@RHAEN - 08.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: