PEMILIHAN PUCUK PIMPINAN PAS SATU TUMPUAN
Oleh Roslan SMS - Laman M@RHAEN


Mukatamar Tahunan PAS Pusat dijangka diadakan di Kota Bharu, Kelantan pada 1 Jun nanti. Pada kali ini mukatamar akan memilih pucuk pimpinan PAS di peringkat pusat untuk tempoh satu penggal. Ianya merupakan proses pemilihan pertama setelah PAS mengalami kekalahan di dalam pilihan raya umum ke-11 lalu.

Masing-masing cawangan dan kawasan PAS di seluruh negara sedang mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing. Menurut Perlembagaan PAS kawasan akan mencalonkan nama-nama untuk pemilihan di peringkat Pusat. Dan sudah pastilah proses ini sedang diikuti dengan penuh tekun dan teliti oleh kalangan ahli-ahli PAS seluruh negara. Contohya PAS Kawasan Kapar antara yang awal telah selesai Mesyuarat Agung Tahunannya dan telah mencalonkan Dato' Dr Haron Din sebagai calon Timbalan Presiden.

Namun memandangkan PAS merupakan sebuah parti yang telah memain peranan besar dalam lanskap politik negara sejak dari pilihan raya umum Persekutuan 1955 sebelum merdeka lagi maka sudah pasti sebarang perkembangan mengenainya turut diberi perhatian oleh semua pihak termasuk dari kawan dan lawan di luar lingkungan PAS sendiri. Kerana itulah sejak akhir-akhir ini akhbar-akhbar tempatan dan laman-laman web tidak henti-henti menerbitkan pelbagai spekulasi dan bacaan berkenaan proses pemilihan ini.

Pastinya pemilihan di dalam PAS bukan sebagaimana pemilihan dalam Umno. Dalam PAS walaupun ada pencalonan dan pertandingan sebagaimana Umno namun tidak pernah ada larangan pertandingan untuk mana-mana jawatan. Contohnya gesaan agar jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan demi kononnya perpaduan parti tidak pernah berlaku dalam PAS.

Dan yang lebih ketara lagi tidak berbangkit politik wang dalam pemilihan PAS kerana jawatan di dalam PAS tidak pernah menjanjikan kemewahan dan kesenangan melainkan dugaan, cabaran dan tekanan yang tidak pernah kunjung padam.

Di dalam PAS tidak ada beza peluang bagi ahli yang baru ataupun yang lama. Syaratnya adalah keikhlasan dan kejujuran untuk berjuang yang dinilai dan dijadikan kriteria oleh para perwakilan. Menurut sejarah contohnya Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi yang baru dijemput menyertai PAS telah terus dipilih dalam muktamar untuk menjadi Yang Dipertua Agung PAS (ketika itu) walaupun baru beberapa ketika menjadi ahli. Demikian juga contohnya Datuk Kamaruddin Jaafar bekas pemimpin Umno yang menyertai PAS sebelum pilihan raya 1999 telah dipilih menjadi AJK PAS Pusat dan seterusnya menjadi calon dan menang di Parlimen Tumpat sehingga hari ini.

Ringkasnya pemilihan pucuk pimpinan dalam PAS memang meriah namun tidak pernah membabitkan gelanggang yang berat sebelah, perlakuan tidak bermoral ataupun kem-kem politik. Setelah muktamar lazimnya yang menang dan yang kalah akan bertaut kembali dan mementingkan perpaduan parti dan jemaah di atas segala-galanya. Itulah beza PAS dengan yang lain-lain dan itulah insyaAllah hendaknya sampai bila-bila.

Sila lawati BLOG saya di http://n32.blogspot.com/

Oleh Roslan sms - 06.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: