BANTUAN RM10 JUTA UNTUK MANGSA ACHEH DAN NASIB OKT
Oleh Johari Abdul - Laman M@RHAEN


Terharu saya membaca sebuah artikel dalam sebuah laman web, berkenaan sumbangan Parti Keadilan Rakyat kepada mangsa tsunami di Acheh baru-baru ini. Menambahkan lagi rasa terharu saya apabila Keadilan telah menghantar beberapa sukarelawan ke Acheh dan hampir menitis air mata (kerana terharu) apabila dikhabarkan harga mesin penyuling air yang disumbangkan oleh Parti Keadilan Rakyat kepada penduduk Acheh bernilai hampir RM 10 JUTA. Saya cukup berbangga menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat yang begitu prihatin dan begitu mengambil berat tentang masa depan penduduk Acheh yang menderita akibat tsunami.
 
Dalam suasana dan keadaan yang berbeza selepas pembebasan Dato Seri Anwar Ibrahim, banyak perubahan yang berlaku terutama dari segi penambahbaikkan organisasi dan kemudahan parti. Dikhabarkan setiap program Angkatan Muda negeri kini tak perlu lagi bersusah hati cuma khabarkan sahaja bentuk program dan bantuan, bantuan kewangan akan menyusul. Pembentukan zon-zon dalam Keadilan juga di lihat cukup baik apabila setiap zon akan mempunyai pejabat dan kemudahan lengkap hasil pembebasan Anwar Ibrahim.
 
Saya cuma ingin memohon kepada Parti Keadilan Rakyat dan pimpinannya yang mungkin terlupa tentang nasib OKT (orang kena tahan) reformasi yang saya rasa pun menderita akibat tsunami kebangkitan rakyat yang memperjuangkan keadilan. Bukan niat saya untuk mengharapkan ganjaran atau imbuhan tetapi cukuplah sekadar bantuan yang diperlukan untuk kami yang masih menghadapi kes mahkamah.
 
Saya merupakan salah seorang OKT bagi kes Kamunting 1 iaitu kes di mana 37 orang reformis telah ditangkap dan didakwa di mahkamah atas tuduhan perhimpunan haram sewaktu sambutan 100 hari tahanan ISA.
 
Biar saya jelaskan serba sedikit penderitaan yang kami alami supaya dapat membuka mata pimpinan Keadilan yang terlupa. Semasa kami ditangkap, ada di antara kami yang terpaksa mengeluaarkan perbelanjaan sendiri untuk ikat jamin iaitu dengan kadar RM1ribu setiap seorang.K ami juga sehingga ke hari ini terpaksa mengeluarkan RM550.00 setiap seorang untuk membayar peguam walaupun dikhabarkan peguam berkenaan adalah dari Parti Keadilan.

Cuba saudara dan saudari semua bayangkan RM550.00 didarabkan dengan 37 OKT yang mana jumlahnya adalahRM20,350.00 dan seorang Ahli Jawatankuasa Perhubungan Keadilan Perak mendakwa telah menyumbangkan RM5000.00 untuk bantuan kepada pihak peguam dan ini bermakna RM20,350 ditambah dengan RM5000.00 jadi RM25,350.00 (DUA PULUH LIMA RIBU TIGA RATUS LIMA PULUH). Ini belum termasuk sumbangan-sumbangan lain yang tidak diketahui. Cuba saudara dan saudari bayangkan yang perbelanjaan sebanyak itu terpaksa kami keluarkan untuk bayaran peguam. Mungkin patut sekiranya pembayaran sebanyak itu dikeluarkan untuk seorang peguam yang hebat dan sesuai dengan statusnya sebagai ahli MPT Keadilan, tapi agak menyedihkan sehingga hari ini kes pun masih belum berjalan. Cuba saudara dan saudari bayangkan katakanlah setiap OKT yang terpaksa menghadiri kes, mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM100.00 sekali datang dan sudah lebih dari lima kali perbicaraan ditangguhkan. Bayangkan berapa banyak modal yang terpaksa dikeluarkan?
 
Saya amat berharap agar pihak pimpinan parti dapat memberikan perhatian yang lebih serius dalam hal ini. Janganlah lagi kami OKT-OKT reformasi ini terus menderita. Cukuplah sekadar bantuan percuma untuk khidmat guaman yang kami perlukan. Kalau rakyat di Acheh kini dapat minum air yang disuling dengan mesin berharga RM10 JUTA, cukuplah kami sekadar dibantu dengan khidmat guaman percuma.
 
Saya juga mengharapkan agar pimpinan Parti Keadilan dapat meluangkan sedikit masa untuk bersama dengan OKT di mahkamah. Setakat ini hanya YBhg Saifudin, Tian Chua dan Shaari Sungip yang pernah hadir memberikan sokongan moral kepada kami.. Teringin juga untuk melihat saudara Ezam Mohd Noor bersama kami.
 
Sekian Terima Kasih

- Johari Abdul - 07.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: