Penerusan Kezaliman Abdullah Badawi Terhadap Anwar
MENYAMBUNG FITNAH SAMA DENGAN MEMFITNAH
Susunan ER

KINI sudah lebih enam tahun mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merengkok di sebalik jeriji besi di Sungai Buloh.

Walau berulangkali menegaskan bahawa beliau adalah mangsa konspirasi politik peringkat tertinggi yang melibatkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad beliau tetap dihukum untuk tempoh 15 tahun atas tuduhan rasuah dan meliwat oleh mahkamah.

Kecelaruan proses perbicaraan kemudiannya menyebabkan rakyat umumnya menganggap bahawa Anwar adalah tahanan politik dan mahkamah hanyalah alat untuk menghalalkan pembunuhan karier politik Anwar.

“Terima kasih Yang Arif  kerana melaksanakan kehendak penguasa,” kata Anwar kepada Hakim Dato’ Ariffin Jaka sejurus selepas hukuman kedua selama sembilan tahun dijatuhkan pada bula Ogos 2000.

Kritikan badan hak asasi dalam dan luar negara terhadap sistem kehakiman Malaysia mengukuhkan hujah ini.

"Anwar dipenjara kerana dendam politik Mahathir,” kata Sam Zarifi, Timbalan Pengarah bahagian Asia Human Rights Watch-sebuah badan hak asasi independen.

Amnesty International, sebuah badan hak asasi terpengaruh dengan 1.5 juta ahli di 150 negara pula berkata Anwar adalah 'Tahanan Prihatin' (prisoners of conscience) kerana beliau ditahan semata-mata kerana mahukan reformasi politik serta punyai pandangan berbeza dengan Mahathir. Kenyatan ini dibuat sejurus selepas penahanan Anwar pada September 1998.

Tatkala Mahathir berundur, Amensty International sekali lagi membuat kenyataan dengan harapan akan berlaku perubahan pentadbiran rejim baru. Dalam kenyataan sebelum rayuan Anwar ke Mahkamah Persekutuan Mei lepas, Pengarah Program Asia nya, Ingrid Massage berkata masanya telah tiba untuk memperbetulkan segala ketidakadilan terhadap pendakwaan dan pemenjaraan Anwar.

Apabila mengambil alih jawatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mempunyai peluang untuk membebaskan cengkaman pemerintah terhadap badan kehakiman yang sudah pasti akan menjalankan perbicaraan adil mengikut standard keadilan sejagat kepada Anwar.

Tetapi sebaliknya, apabila ditanya wartawan April lepas Abdullah hanya berkata Anwar telah dihukum oleh mahkamah mengikut kesalahan janayah, seolah-olah memberi isyarat bahawa pentadbiran beliau tidak akan mengubah sebarang polisi melainkan mengganggap Anwar sebagai legasi Mahathir semata.

Beliau juga seringkali berselindung di sebalik ‘kerajaan tidak akan mengganggu proses mahkamah’ apabila berbangkit isu Anwar.  Kenyataan sebegini hanya dapat diterima sekiranya Abdullah datang dari planet Marikh.

Rakyat Malaysia umumnya maklum bahawa proses perbicraan dan pendakwaan Anwar dicemari dengan insiden-insiden yang tidak dapat diterima oleh akal sihat.

Mustahil Abdullah begitu jahil hingga tidak menyedari bahawa dalam perbicaraan tersebut berlaku percubaan merekacipta bukti seperti dalam keterangan peguam Manjeet Singh Dillon dan Jamal Amro. Begitu juga keengganan Mahathir untuk hadir sebagai saksi bagi memberi keterangan di mahkamah mengenai kenyataan awal bahawa beliau mempunyai bukti tuduhan salah laku seks Anwar.

Sisa-sisa kebiawaan mahkamah diranapkan apabila tarikh pertuduhan dipinda sebanyak tiga kali ketika perbicraan berlansung. Anwar mulanya dituduh kerana meliwat Azizan Abu Bakar pada tahun 1994. Tetapi dalam keterangannya di mahkamah, Azizan berkata beliau  tidak diliwat selepas 1992, jadi tarikh pertuduhan itu dipinda kepada tahun 1992.

Apabila menyedari bahawa Tivolli Villa, tempat yang didakwa berlakunya kejadian itu belum siap pada tahun 1992, tarikh dipinda lagi kepada ‘satu hari dalam bulan Januari hingga Mac 1993’.

Apakah percanggahan ini belum cukup bagi Abdullah membetulkan ketelanjuran sesuai dengan hasrat ‘ingin mendengar kebenarannya’?

Sekiranya Abdullah ikhlas tidak mencampuri urusan mahkamah, apakah tidak ada ruang lain untuk beliau mepamerkan sikap kemanusiaan? Beliau sekurang-sekurangnya boleh menggunakan bidang kuasa sebagai Menteri Dalam Negeri untuk mengarahkan Ketua Pengarah Penjara menggunakan budi bicara bagi membenarkan Anwar menjalani pembedahan di luar negara bagi meringankan penderitaannya sakit belakangnya.

Sebagai pemimpin Islam, Abdullah sepatutnya rasa malu dan ingin menyaingi sifat kemanusiaan Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo yang membenarkan musuh politiknya yang terpenjara, Joseph Estrada menjalani pembedahan lutut di Amerika.

Tetapi pertimbangan politik dan dendam Abdullah nampaknya mengatasi segalanya. Ini disedari Anwar.  Dalam kenyataan kepada Harakah ketika Abdullah baru mengambil alih jawatan November tahun lepas, beliau berkata:

“...Ini menzahirkan dimensi bobrok apabila Abdullah bertindak awal dalam perkara yang menguntungkan politik peribadi beliau. Yang dikira utama ialah muslihat beliau memastikan saya mendekam di penjara dengan apa cara jua.”

Apakah wajar Abdullah meraih kepentingan politik kepentingan politik atas penderiataan orang lain?

Atau wajarkah Abdullah ‘cuci tangan’ menyatakan beliau tidak ada kena mengena dengan kezaliman terhadap Anwar kerana ia dilakukan oleh pemimpin terdahulu?

Sebagai seorang yang punya latar belakang agama, Abdullah sepatutnya faham risiko bersubahat dalam persekongkolan ini.

Menurut tokoh agama terkemuka, Dato' Ishak Baharum, kegagalan mengemukakan empat orang saksi dalam kes zina atau liwat, bererti seseorang yang dituduh itu tidak terlibat dan jika hukuman diteruskan bermakna berlaku kezaliman kerana memfitnah,” katanya.

Dalam Islam, tidak melakukan apa-apa untuk menghalang ketidakadilan bererti bersubahat dan hukumannya sama dengan melakukan kesalahan tersebut. Begitu juga dalam soal fitnah.“Menyambung sesuatu fitnah dosanya sama dengan melakukan fitnah tersebut,” tegas beliau.

Oleh itu Ishak menyarankan cara terhormat bagi Abdullah ialah tidak meneruskan atau menyambungkan kezaliman ke atas Anwar.

“Saya sarankan supaya jangan disambung atau diteruskan kezaliman itu,” katanya.

Menurut beliau, jika sekiranya punya bukti, Abdullah hendaklah  membicarakan semula kes Anwar mengikut hukum Islam terutama bila Malaysia diwar-warkan sebagai sebuah negara Islam.

“Bicarakan semula kes Anwar dengan prinsip keadilan Hukum Syarak, mudah-mudahan kita terlepas diakhirat dan didunia,” kata Ishak sambil mengingatkan, bahawa setiap kita akan berdepan di mahkamah pengadilan tuhan.

Lalu apa dosa memfitnah seseorang dengan tuduhan zina atau liwat?

Ahli Majlis Fiqh Antarabangsa, Shaikh Taha Jabir Al-Awani merumuskan bahawa tuduhan salah laku liwat adalah satu jenayah maruah dan akhlak.  Seperti juga tuduhan zina, ia memerlukan empat orang saksi yang boleh dipercayai dan telah melihat salah laku tersebut secara sah, tanpa sebarang halangan atau gangguan.

“Sekiranya terdapat sebarang keraguan dalam keterangan yang diberi, maka keseluruhan kes hendaklah dibuang dan para saksi atau pendakwa bersalah kerana memburuk-burukkan dan memfitnah,” kata Shaikh Taha.

Tokoh ulama terkemuka, prof Dato’ Dr Harun Din pula berkata sekiranya orang yang menuduh gagal membuktikan dengan empat orang saksi, maka hukuman berubah daripada kes zina kepada kes qazaf. Qazaf bermakna menuduh seseorang berzina tanpa berjaya membawa empat orang saksi.

“Bila sabit kes qazaf, maka hukuman terhadap orang yang membawa kes itu ialah sebatan 80 rotan,” kata beliau.

Firman Allah bermaksud:

"Mereka-mereka yang menaburkan fitnah, melakukan fitnah keatas orang-orang mukmin lelaki dan perempuan maka Allah sediakan bagi mereka itu dua seksa. Yang pertama azab neraka jahannam, dan kedua (mereka jadi) bahan api neraka yang dibakar selama-lamanya", tegasnya.

Ahli Lembaga Fiqh Rabitah Alam Islami Mekah, Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi pula menegaskan bahawa menuduh seseorang dengan tuduhan zina dan liwat adalah dosa besar. “Penuduh mesti mengemukakan empat orang saksi. Jika gagal mendatangkan empat saksi, maka dia dianggap pendusta,’ kata beliau.

Pendusta itu mesti dikenakan hukuman syariah seperti firmanNya (terjemahannya):

Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) 80 kali sebatan dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik. (Surah an-Nur 24:4-5).

- ER - 27.05.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN