SIRI SEJARAH ISLAM
Al Husayn bin Ali A.S – Cucunda Rasulullah S.A.W (Siri ke-3)
Oleh Ammar Yasir - Laman M@RHAEN

Peranan dan perjuangan  al Imam Husayn a.s

Dalam hal kita mengikuti jejak-jejak kehidupan Al-Husayn a.s. nescaya kita akan mengesani betapa mendalamnya peranan beliau di dalam kehidupan Islam. Lebih-lebih lagi sumbangan beliau untuk mengembalikan umat manusia ke jalan yang lurus selepas didapati tunggak pemerintahan telah beralih ke tangan dinasti Umaiyah yang menghancurkan konsep Khilafah dan Imamah yang murni sebagaimana yang dikehendaki oleh syari’at Islam.

Peranan yang didokongi oleh Imam al-Husayn a.s. sejak beliau masih muda remaja lagi iaitu ketika ayahandanya Imam Ali bin Abu Talib r.a. menegakkan pemerintahan Islam di Madinah. Imam al-Husayn a.s. beserta saudaranya Imam Hasan a.s. turut mcnyertai beberapa peperangan untuk menegakkan Imamah Amir al-Mukminin Ali bin Abu Talib r.a.

Umpamanya beliau menyertai tiga peperangan yang amat penting iaitu Perang Jamal, Siffin dan Nahrawan yang didokongi oleh ayahandanya Amir Mukminin Ali, saudaranya al Hasan dan para sahabat Rasulullah (s.a.w.) yang cintakan ahlul Bayt rasulnya.
Lanjutan dari itu, apabila saudaranya al-Hasan memegang amanah Imamah, maka Imam al-Husayn tetap menjadi panglima tentera yang taat kepada saudaranya itu serta turut merasai pahit maungnva perjuangan yang didokong oleh kekandanya itu.

Seluruh peristiwa yang dilalui menjadi sempadan dan pedoman baginya. Sehinggalah beliau turut kembali semula ke Madinah dari Kufah yang menjadi pusat pemerintahan ayahanda mereka.

Demikianlah juga para anggota ahlul Bayt a.s. turut menyumbangkan peranan mereka dalam menegakkan dan mempertahankan pengajaran Islam yang dibawa dan diasaskan oleh datuk mereka Rasulullah s.a.w. Sumbangan mereka yang berpengaruh itu bolehlah diperhatikan dengan perjuangan al-Husayn a.s. yang sanggup mengorbankan harta, nyawa dan darah untuk menegakkan syari’at Islam.

Selepas kesyahidan saudaranya Imam Hassan a.s. yang diracun oleh ejen-ejen musuh ahlul bayt maka peranan Imam Husayn a.s. berada ditahap yang baru pula. Ini disebabkan era kehidupan yang dilaluinya lebih mencabar akibat Bani Umayyah yang semakin hari semakin melampau menentang dasar Islam terutamanya dalam bidang politik dan pemerintahan.

Keadaan ini sering terjadi di kalangan imam-imam Ahlul bayt a.s. yang membataskan peranan mereka juga berasaskan situasi kemasyarakatan pemikiran dan suasana politik semasa.

Sesungguhnya Imam al Husayn a.s. telah menemui satu jalan baru yang terbentang di hadapannya untuk mengembeling harakah atau pergerakan Islam yang lebih maju bagi menghadapi konspirasi golongan munafiq yang memegang tampuk pemerintahan pada masa itu.

Pergerakan Islam semakin memerlukan tindakan yang lebih terkehadapan dan matang berikutan suasana gawat ekoran kewafatan Imam Hassan a.s.

Ini kerana walaupun Bani Umayah menguasai pemerintahan secara formal, namun kepimpinan umat secara rohaniah dan hakiki berada di tangan Imam-imam Ahlul Bayt Rasulullah s.a.w. Dasar imam sememangnya telah ditetapkan oleh syariat Islam untuk memimpin umat Islam dan dunia. Garisan Ilahi ini telah digariskan dengau tegas oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadith-hadithnya serta sirahnya.

Antara hadith tersebut ialah yang diriwayatkan oleh Jahir bin Samrah r.d. yang berkata; Aku telah menemui Rasulullah s.aw. bersama dengan bapaku dan aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud Sesungguhnya urusan ini (Islam) tidak akan selesai dilaksanakan melainkan telah datang di kalangan mereka dua belas orang khalifah. Berikutnya Rasulullah s.a.w. bercakap secara sulit dengan bapaku. Kemudiannya aku bertanya apakah yang disabdakan olehnya. Lalu bapaku berkata Rasulullah s.a.w. bersabda; Kesemua mereka itu adalah dari kaum Quraisy.[Lihat Sahih Muslim, Juzu’ 2, Bab Imarah, hadith ini keluarkan dalam berbagai sandaran dan jalan serta dengan berbagai lafaz yang hampir sama, lihat juga Sahih Bukhari, at-Tirmidzi dan Abu Daud dalam bab yang sama.]

Di dalam suatu hadith yang lain Ubabah bin Rab’i meriwayatkan pula Jabir katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya; Aku adalah pemimpin para Nabi dan Ali adalah pemimpin para pemegang wasiat., Adapun pemegang wasiatku selepasku adalah seramai dua belas orang Ali adalah yang paling awal dikalangan mereka dan yang akhirnya ialah Imam al Qaim al Mahdi. [Lihat kitab Yanabi’ al-Mawaddah tulisan al-Hamawi, Juzu’ 11, bab 77]

Manakala Salman al-Farisi r.a. pula telah berkata; Aku telah datang menemui Rasulullah s.a.w sedangkan junjungan pada masa itu sedang meriba Saidina Husayn a.s serta mengucup mulutnya lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepada al-Husayn a.s, Engkau adalah pemimpin (sayyid) putera kepada sayyid dan saudara kepada sayyid, dan engkau Imam putera kepada Imam seta saudara kepada imam, dan engkau pemegang amanah Allah (hujjah) putera kepada hujjah serta saudara kepada hujjah serta bapa kepada sembilan orang Imam, yang kesembilannya dibangkitkan ialah al-Mahdi. [Lihat kitab yang sama dengan huraian oleh Ibn Khawarizmi]

Boleh dikatakan terdapat berpuluh-puluh hadith dan keterangan-keterangan yang jelas mengenai konsep Imam dua belas khalifah 12 selepas Rasulullah s.a.w.

Menurut Sheikh al-Qunduzi Rasulullah s.a.w mengisytiharkan khalifah-khalifah selepasnya berjumlah 12 orang sebanyak seratus hadith yang menyebut nama-nama mereka dengan jelas, manakala seratus hadith yang lain disebut secara umum.[Sila rujuk kitab Yanabi al-Mawaddah oleh Syeikh al-Qunduzi, Bab 3 di dalam menerangkan bab Imam dua belas dan nama-nama mereka]

Apabila kita kembali memperkatakan Imamah al-Husayn a.s maka perhatikan kita agak istimewa mengenai keistimewaan kepimpinan beliau dan situasi politik yang wujud di zamannya sehingga tindakan-tindakannya menjadi terkehadapan dalam menentang thoghut (sesuatu yang di luar batas agama) dan penguasa yang zalim serta menyeleweng pada masa itu.

Sungguhpun demikian tindakan dan peranan al-Husayn a.s tetap dibataskan oleh kehendak syariat Islam semata-mata. Berikut ini akan dikemukakan keadaan dan latar belakang yang akan mencetuskan revolusi Islam al-Husayn a.s yang dianggap sebagai revolusioner Islam yang kedua selepas Rasulullah s.a.w [Ath-Thair al-Thani].

Peristiwa-Peristiwa Selepas Perjanjian

Selepas saja termeterai perjanjian di antara Imam al-Hasan a.s dengan Muawiyah yang berusaha merebut jawatan khalifah sejak dari zaman Amir al-Mukminin Ali bin Abi Talib r.a. maka Muawiyah dan tenteranya pun memasuki kota Kufah. Berikutnya Muawiyah mengemukakan ucapan yang berupa ancaman kepada penduduk kota tersebut, katanya yang bermaksud:

“Wahai penduduk Kufah! Adakah kamu melihat aku memerangi kamu kerana kamu bersembahyang, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji. Sesungguhnya aku mengetahui bahawasanya kamu sentiasa bersembahyang, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji. Akan tetapi aku memerangi kamu adalah untuk menguasai kamu dan hamba-hamba kamu. Sesungguhnya aku telah diperintahkan oleh Allah untuk melakukannya! Namun begitu kamu semua tetap berdegil. Ketahuilah, sesungguhnya setiap harta atau darah yang tumpah kerana fitnah ini sudah menjadi kelaziman. Ini disebabkan setiap kejadian dan perkara ada sebab dan akibat, dengan ini kakiku melangkah ke mari…”[Syarh Nahjul Balaghah oleh ibnu Abil Hadid, Juzu’ 16, hlm. 15, cetakan 1959, Dari Ihya’ al-Kutub al-Arabiyyah]

Sesungguhnya ucapan dan ancaman sedemikian itu merupakan suatu pelanggaran terhadap perjanjiannya dengan al Hasan bin Ali a.s. Dan inilah corak politik Muawiyah sehinggalah segala rancangannya untuk berkuasa penuh berjaya dicapai. Inilah politik Machiavelli iaitu matlamat yang menghalalkan cara.

Di antara rancangan itu ialah berusaha menghapuskan seluruh penentangan yang terdiri dari pengikut Imam Ali bin Abi Talib a.s dan Ahlul Bayt seluruhnya yang selama ini menghalang cita-citanya untuk berkuasa. Malah pernah Muawiyah berpesan kepada tenteranya dalam menghadapi musuh-musuhnya:…….Hendaklah kamu bunuh siapa saja musuh yang kamu temui, hancurkan kekuasaan dan sumber yang mengukuhkannya, musnahkan harta benda mereka kerana dengan menghancurkan harta mereka bererti melumpuhkan kekuatan mereka [Nahjul Balaghah, Juzu’ 11, hlm. 86]

Inilah gambaran politik Muawiyah yang lebih ternyata dengan kata-katanya kepada gabenor-gabenornya: Hendaklah kamu perhatikan suatu golongan yang terlalu cintakan Ali dan ahli-ahli keluarganya, hapuskanlah mereka dan sumber-sumber ekonomi mereka.

“Selanjutnya Muawiyah menyatakan lagi….Lumpuhkan kekuatan mereka dengan mengadakan berbagai tipu daya serta hancurkanlah tempat tinggal mereka.”

Jika kita kaji perkembangan yang berlaku mutakhir ini, sikap Muawiyah ini telah diceduk bulat-bulat oleh regim Umno yang memerintah Malaysia dengan menyekat pelbagai bantuan untuk mereka yang membangkangnya serta melakukan pemulauan ekonomi demi melaksanakan misi untuk mematikan gerakan pembangkang.

Dalam hal ini Imam Muhammad al-Baqir a.s menegaskan tentang corak kekejaman Bani Umaiyyah katanya: “Golongan kami (para pengikut kami) telah dibunuh dan diperangi di setiap penjuru negeri, tangan-tangan dan kaki-kaki kami dipotong berdasarkan syak wasangka, malah sesiapa yang mencintai dan cenderung kepada kami dipenjarakan, dimusnahkan harta benda mereka, dihancurkan kampung halaman mereka….kekejaman itu mencapai puncaknya pada zaman Gabenor Yazid yang bernama Ubaidillah bin Ziyad yang membunuh al-Husayn a.s.

Kezaliman rejim Umawi yang juga dikenali sebagai al Sufyani (keturunan Bani Sufyan) begitu menonjol apabila mereka membunuh para sahabat Rasulullah s.a.w yang mencintai Ali dan Ahlul Baytnya.

Antara mereka ialah Hujr bin Adi serta 13 orang pengikutnya yang mula-mula digantung sampai mati oleh Muawiyah, Rasyid al-Hijri, Amru bin Haq al-Khaza’e, Awfa bin Hisan dan ramai lagi sebagaimana yang digambarkan oleh ahli sejarah yang terkenal at-Tabari dalam kitabnya Syarh Nahjul Balaghah.

Pendek kata polisi Bani Umaiyah ialah menghancurkan semua kekuatan penentangnya termasuk harta benda mereka dengan mengugut peribadi muslim untuk berada di bawah tekanan politik jahiliyah sekular mereka.

Muawiyah yang mengupah setengah ahli hadith untuk memesungkan hadith Rasulullah s.a.w. yang sahih serta mencipta hadith-hadith palsu demi memperkuatkan kedudukan Bani Umayyah dan bertujuan untuk memperkecil-kecilkan dan menyanggah All dan Ahlul Bayt Rasulullah s.a.w.

Muawiyah juga menggunakan wang ringgit dan kekayaan untuk tujuan politiknya. Sebagai contohnya beliau mengirimkan wang sebanyak 1000 dirham kepada Malek Ibn Habfrah As-Sukuni supaya membunuh Hujur bin Adi r.a. yang menjadi pengkritik Muawiyah yang paling berani.

Demikianlah kebebasan bersuara yang telah dimusnahkan oleh rejim Umawi dengan mewujudkan ancaman kepada para penentang mereka.
Satu lagi permainan politik Umawi ialah mempersempitkan kedudukan ekonomi dengan memerangi musuh-musuh mereka melalui permulauan ekonomi serta keperluan harian.

Para penyokong Imam Ali a.s dan ahlul bayt a.s. diboikot sehingga mereka kelaparan dan mencatukan makanan. Inilah bentuk politik Muawiyah sepanjang pemerintahan dari tahun 41 hingga 60 hijrah.

Muawiyah juga meniupkan api perkauman dan nasionalisme di kalangan umat Islam. Umpamanya diwujudkan pertentangan di antara Arab, penduduk Yaman dengan Madinah, Mesir, Iraq dan seterusnya... Malah golongan bukan Arab yang baru memeluk Islam dipanggil Mawali atau hamba tawanan oleh rejim Umawi.

Lanjutan dari itu, Muawiyah telah menyingkirkan cucunda Rasulullah s.a.w. iaitu Imam Hassan Putera Fatimah az-Zahra daripada menjadi pemimpin umat Islam yang bertepatan dengan syariat Islam serta yang dihormati dan dikasihi oleh umat Islam.

Sebaliknya beliau mengangkat anaknya Yazid menjadi putera mahkota yang bakal menggantikannya sebagai raja Bani Ummayah. Sudah tentu perlantikan itu terang-terang berlawanan dengan syarat perjanjian dengan Imam Hassan a.s. yang menegaskan bahawa pengganti beliau hendaklah diserahkan kepada Imam al-Hassan a.s. Dan seandainya Imam al Hassan a.s. meninggal dunia maka adiknya al-Husayn sepatutnya diangkat menjadi Amir al-Mukminin.
Dengan ini Muawiyah telah menjalankan rancangan dan taktiknya yang kotor itu untuk mencapai kekuasaan dengan berpaling dari hakikat ajaran Islam Dan sejak itu jawatan khalifah atau raja telah menjadi warisan Bani Umaiyah, yang mengikuti garisan sistem diktator atau kuku besi yang dipaksakan ke atas umat Islam dari saat dan semakin hebat setelah kematian Muawiyah yang digantikan oleh puteranya Yazid.

Dengan pengangkatan Yazid sebagai raja atau penguasa itu jelaslah semakin muramnya kehidupan umat Islam dan semakin hebat setelah kematian Muawiyah yang digantikan oleh puteranya Yazid.

Lebih-lebih lagi dengan keperibadian Yazid yang bertentangan dengan akhlak Islam. Ini bererti suatu bentuk pengembalian kepada jahiliyah dalam bentuknya yang baru. Watak Abu Jahal, Namrud, Firaun yang terjelma semula selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. ini disebabkan Yazid tidak terdidik dengan asuhan Islam, sebaliknya kehidupannya bergelumang dengan arak, zina dan berpoya-poya yang berlawanan dengan keperibadian Islam.

Hasil dari keperibadian yang negatif ini telah mencetuskan suasana pemerintahan jahiliyah di zamannya, sehingga para penentangnya disiksa dan diburu.

Kota Madinah turut menjadi mangsa kedurjanaan Yazid dan tenteranya, demikian juga kota suci Makah telah dicerobohi dengan ganas.

Suasana seperti inilah yang menggerakkan dan mendorong Imam al-Husayn a.s. untuk bangkit menentang arus jahiliyah yang dibawa oleh rejim Umawi dan tidak ada pilihan lain melainkan berjihad pada jalan Allah dan melancarkan revolusi Islam untuk mengembalikan kehidupan Islam serta meruntuhkan jahiliyah, kezaliman dan kejahatan Bani Umaiyah dan kuncu-kuncunya.

Bersambung pada siri yang Keempat

Ammar Yasir
ammar_jadid@yahoo.com - 08.03.2005 ( marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: